PERKEMBANGAN GEREJA SIPITANG

Gereja Yesus Benar yang terletak di Padang Berempah,Sipitang merupakan bibit rohani yang pertama di kawasan Sipitang. Ianya merupakan gereja yang ketiga di daerah ini dan merupakan kehendak dan rencana Tuhan.

Pada tahun 1987, saudara Mikolson Sumil yang berasal dari Gereja Kepayan,Keningau dengan seisi keluarganya, seramai 7orang telah berpindah, ke Sipitang untuk bekerja di kilang kertas Sabah Forest Industries (SFI). Kerana tidak ada gereja yang berdekatan di tempat ini, maka pada hari Sabat, mereka hanya berdoa dan beribadah kepada Tuhan di rumah mereka. Beberapa bulan kemudian, saudara Ginsim Yubong yang berasal dari Gereja Luanti, Keningau juga datang ke sini dan bekerja di kilang yang sama. Pada waktu itu, saudara ini masih belum berumahtangga.
 Pada waktu yang sama, dia telah berumahtangga dan membawa isterinya, saudari Emily Ekang ke tempat ini dan bilangan jemaat bertambah kepada 9orang. Mereka mula menabur bibit rohani kepada saudara mara mereka dari Keningau. Syukur kepada Tuhan, benih yang mereka tabur itu telah bertumbuh apabila seorang saudari, kakak kepada saudari Emily, iaitu saudari Yanie Ekang bersama anak sulungnya, Roy Mudi, telah digerakkan Roh Kudus Tuhan lalu menerima Injil Kebenaran dan memberi diri dibaptis, menjadi keluaga Allah dalam Gereja Benar. Selepas itu, setiap pendeta yang melakukan lawatan pengembalaan ke Gereja Pengrawan dan Gereja Kelangsat akan singgah di tempat ini untuk tujuan yang sama. Antara mereka adalah Penatua Timotius (pada waktu itu adalah Pendeta), Pendeta Kaleb, Pendeta Titus dan Pendeta Yosua.

Pada tahun 1991, tempat kebaktian berpindah ke rumah saudara Ginsim sehinggalah pertengahan tahun1993. Tempat kebaktian sekali lagi berpindah ke rumah saudara Juimes Tingon, maka seorang lagi pemercaya baru ditambahkan pada waktu itu. Pada tahun yang sama, Kelas Pendidikan Agama telah didirikan. Bilangan murid adalah seramai lima orang dan gurunya adalah saudari Doris Julian. Sementara itu kebaktian malam pada hari Jumaat pula diadakan secara bergilir-gilir di setiap rumah seiman.

Pada tahun 1993, pihak Ibu Gereja telah mengutus Pendeta Philemon Tsen dan Pendeta Zefanya (ketika itu masih lagi pelatih pendeta), pergi ke SFI, Sipitang untuk tugas pengembalaan. Maka jemaat di sini baru mengetahui bahawa sebenarnya saudara Lawrence Chin sekeluarga merupakan anggota Gereja Yesus Benar juga. Bermula dari itu, jemaat bersama-sama berkebaktian Hari Sabat dan kebaktian-kebaktian yang lain. Jemaat menjadi lebih giat lagi meningkatkan pelayanan di dalam Tuhan, khususnya dalam pemberitaan injil kepada penduduk di kawasan perumahan SFI. Mereka merasakan bahawa Tuhan beserta di dalam kerja suci ini di mana ada penyertaan Tuhan dan tanda-tanda mujizat. Misalnya, seorang anak perempuan yang mengalami penyakit paru-paru sejak bayi lagi telah disembuhkan sesudah dibaptis, dan juga seorang wanita yang telah menderita pelbagai jenis penyakit akibat gangguan roh-roh jahat selama lapan tahun dan hampir lumpuh menjadi sembuh lalu memberi diri dibaptis. Selain itu, seorang lelaki dewasa menghidap penyakit paru-paru yang telah disahkan oleh doktor pakar di Hospital Queen Elizabeth dan tidak mempunyai jaminan lagi telah menjadi sembuh melalui bantuan doa. Ramai juga simpatisan menerima Roh Kudua dan melihat penglihatan dalam doa mereka. Hal ini menyebabkan ramai orang mendengar Injil Kristus menjadi percaya dan menerima baptisan kelahiran kembali, dalam nama Tuhan Yesus Kristus menjadi pemercaya Gereja Yesus Benar. Bilangan pemercaya pada waktu itu bertambah dengan cepat menjadi 80orang. Ketika itu, Kemah Doa SFI, masih di bawah naungan Zon Kota Kinabalu dan Pendeta Philemon Tsen selaku pendeta zon ketika itu membuat lawatan setiap bulan ke sini.

Pada masa itu, Kemah Doa belum mempunyai organisasi yang teratur. Sehinggalah pada tahun 1994, barulah Ahli Jawatan Kuasa Gereja telah dibentuk. Pada tahun yang sama juga, Kemah Doa Sipitang buat pertama kali mengadakan Kebaktian Kebangunan Rohani bertempat di rumah penguasa iaitu saudara Lawrence Chin. Selepas itu, kami mengadakan Kebaktian Hari Sabat di rumah saudara Lawrence Chin selama hampir setahun. Kerana bilangan jemaat semakin bertambah dan suasana tempat ibadah semakin sempit dan sesak semasa kebaktian, maka AJK Gereja telah memohon kebenaran kepada pihak pengurusan SFI supaya membenarkan menggunakan Dewan Mini SFI sebagai tempat berkebaktian. Syukur kepada Tuhan kerana pihak syarikat membenarkan jemaat menggunakan dewan tersebut sebagai tempat beridah di dewan ini. Selain Kebaktian Sabat dan kebaktian khas yang lain, kerja suci lain seperti kelas pendidikan agama juga diadakan di sini. Kebaktian Penginjilan, mengadakan KKR sebanyak dua kali, Penginjilan melalui Kidung sekali dan Hari pendidikan selama dua tahun berturut-turut.


Setelah Pendeta Philemon Tsen berhijrah ke Canada, lawatan ini telah digantikan oleh Pendeta Thomas Kam sebagai pendeta zon. Atas dorongan dan nasihat para pendeta, jemaat disini terus meningkatkan usaha untuk memberitakan Injil Tuhan Yesus kepada pendudukan di tempat ini, sambil memohon penyertaan Tuhan.
 Sehingga kini jumlah pemercaya mencapai 175orang dengan seorang diaken iaitu Dn Ehud Muksin yang telah diurapi pada tahun 2006. Tempat beribadah menjadi lebih luas dan selesa selepas bangunan gereja telah siap dibangunkan di atas tanah milik gereja dan telah di tahbis sepuluh tahun yang lalu iaitu 18hb September 1999. Ia juga diperlengkapi dengan kemudah asas seperti asrama, dapur, dewan makan dan bilik pendeta. Hal ini merupakan suatu berkat yang amat besar jika dibandingkan dengan keadaan pada saat-saat awal injil kebenaran muncul di tempat ini.

~dipetik dari majalah ulangtahun ke-10 Pentahbisan Gereja Yesus Benar, Sipitang 1999-2009